Di zaman moden Fatwa

Fatwa penafijajahan

Fatwa pembantahan tembakau, dikeluarkan oleh Mirza Shirazi

Pada awal zaman penjajahan Barat, beberapa fatwa pernah dikeluarkan yang menjelaskan takrifan antara negeri yang rakyatnya memeluk Islam (dar al-Islam atau darussalam) dan tanah yang dilanda perang (dar al-harab atau darulharab) atau yang belum memeluk Islam (dar al-kufur). Fatwa-fatwa ini mengelaskan negeri-negeri di bawah kuasa Eropah sebagai negeri perang atau kufur, dan menggunakan fikah untuk mewajibkan kaum Muslim untuk menentang pemerintah negeri tersebut atau berpindah. Beberapa fatwa sebegini pernah dikeluarkan pada abad ke-19, seperti di tahun 1803 oleh Shah Abdul Aziz di India dan pada tahun 1804 oleh Usman bin Fodio di Afrika Barat. Fatwa-fatwa ini kemudiannya disifatkan tidak realistik, dan pada tahun 1870, ulama India utara mengeluarkan fatwa yang menyatakan bahawa Muslim India tidak diwajibkan untuk memberontak atau berpindah. Kontroversi yang serupa dengan ini pernah berlaku di Algeria semasa dijajah Perancis. Fatwa-fatwa yang diminta oleh Abd Al-Qadir, pemimpin antikolonialisme Algeria, berbeza dalam butiran teknikal, manakala pihak Perancis pula menggunakan fatwa yang mereka kemukakan oleh mufti tempatan, bahawa Muslim yang tinggal dalam pemerintahan yang bukan Islam tidak diwajibkan untuk melawan atau berpindah asalkan mereka diberi kebebasan agama oleh pihak berkuasa.[5]

Dalam berbagai kejadian lain, fatwa bertindak sebagai alat yang berguna untuk memengaruh proses politik. Contohnya, pada 1904 sebuah fatwa daripada seorang ulama Maghribi berjaya memecat ahli pakar dari Eropah yang digajikan oleh kerajaan Maghribi, manakala pada tahun 1907 satu lagi fatwa berjaya memakzulkan sultan Maghribi atas dakwaan gagal mengerahkan pertahanan menentang serangan Perancis. Fatwa pembantahan tembakau 1891, dikeluarkan oleh mujtahid Iran Mirza Shirazi, yang mengharamkan rokok selagi pihak British memonopolikan tembakau juga berjaya capai matlamatnya.[5]

Pengasasan di zaman moden

Di bawah jajahan Eropah, pengasasan dar al-ifta, atau daruliftak, ditubuhkan di pelbagai madrasah (pusat pengajian keundangan) sebagai ibu pusat untuk pengeluaran fatwa, dan pertubuhan sebegini telah menggantikan peranan mufti swasta dalam nasihat agama untuk khalayak awam.[9] Selepas merdeka, kebanyakan negeri-negara Islam menadbirkan lembaga kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa. Contohnya Dar Al-Ifta Mesir, ditubuhkan pada tahun 1895, yang berkhidmat untuk menyuarakan wawasan Islam di negara tersebut melalui fatwa yang dikeluarkan untuk pertanyaan kerajaan dan swasta.[5] Kerajaan-kerajaan di negara yang majoritinya Muslim juga menubuhkan jawatankuasa agama untuk menasihatkan kerajaan dalam perkara-perkara agama serta mengeluarkan fatwa. Jawatankuasa ini biasanya sebahagian daripada kementerian hal ehwal agama Islam dan bukannya jabatan keadilan, yang lebih tegas dalam masalah penguatkuasaan.[7]

Di zaman dahulu, ketua mufti akan memperlihatkan sebuah hierarki mufti dan kadi yang menggunakan syariah tradisional, namun kebanyakan negeri dan negara kini telah menerima kanun undang-undang Barat dan tidak lagi memakai tatacara perundangan asal atau kadi. Mufti negara biasanya memupuk satu pandangan Islam yang sesuai dengan undang-undang negara mereka.[5]

Walaupun sesetengah pengaji fikah berpendapat bahawa mufti tidak sepatutnya jawab berkenaan sesetengah subjek, seperti soal ketuhanan, para mufti sudah pernah tangani pelbagai soalan dalam pelbagai subjek. Perkara ini berlanjutan hingga ke zaman moden dan mufti negara kini, serta institusi fatwa, menjawab soalan-soalan dalam beraneka isu, termasuklah perbalahan politik, kewangan Islam dan etika perubatan, dan menyumbang dalam pembentukan identiti Islam negara.[4]

Tiada satu pun jawatankuasa Islam antarabangsa yang wujud untuk menyelesaikan perbezaan dalam penafsiran syariah. Sebuah Akademi Fikah Islam Antarabangsa (Arab: مجمع الفقه الاسلامي الدولي) pernah ditubuhkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam, namun pendapat mereka adalah tidak terikat.[7]

Pengaedahan fatwa

Fatwa di zaman moden lebih bergantungkan pada proses ijtihad, iaitu menyelidik sesuatu berdasarkan peraturan-peraturan tertentu daripada mengikut pandangan pihak pemfatwa yang lama.[20] Mufti di zaman silam biasanya menggunakan pandangan yang telah digunakan dalam mazhab mereka manakala di zaman kini, banyak mufti mendirikan fatwa mereka secara bebas dan tidaklah mengikut satu mazhab sahaja.[9]

Antara hasil yang paling keji akibat tidak mempedulikan perundangan syariah klasik ialah fatwa-fatwa pengganas militan yang menafsirkan Al-Quran dan hadis untuk menghalalkan pengeboman berani mati, pembunuhan orang awam serta pengisytiharan orang Muslim sebagai kufur.[20]

Bentuk-bentuk ijtihad baharu juga telah menimbulkan fatwa yang menyokong idea-idea baharu seperti kesamarataan jantina dan faedah perbankan, yang berlawanan dengan perundangan syariah klasik. Ini biasanya dicapai dengan menerapkan pelbagai ajaran perundangan tradisional seperti makasid syariah, maslahat dan darurat, berbanding menggunakan sumber-sumber nas secara tepat. Hujah sokongan demi ini ialah bahawa Syariat Islam bertujuan untuk membela kemaslahatan para Muslim dan memperlancarkan hidup mereka (taysir). Bentuk ijtihad ini amat terkenal dalam fiqh al-aqalliyat (فقه الأقليات, fikah minoriti), sebuah cabang baharu dalam perundangan syariah yang bertujuan untuk menangani masalah dan keperluan orang Muslim yang berada di negara yang majoritinya adalah bukan Muslim. Hujah bantahan menentangnya berkata syariah sepatutnya yang menetapkan kepentingan para Muslim dan bukan akasnya.[20]

Fatwa politik dan pertengkarahan

Watikah fatwa menyokong pengisytiharan jihad kerajaan Uthmaniyah pada 1914, dibacaka oleh Penjaga Fatwa (Fetva Emini)[22]

Pada 14 November 1914, sultan Uthmaniyah mengisytiharkan sebuah jihad untuk menandakan kemasukan rasmi Kerajaan Uthmaniyah ke dalam Perang Dunia I. Pengisytiharan tersebut disokong oleh sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Al-Islam. Namun, bertentangan dengan harapan Jerman yang pengisytiharan tersebut akan mencetuskan pemberontakan orang Muslim di koloni-koloni British dan Perancis, fatwa tersebut ditolak dan dipandang enteng oleh pihak berkuasa Muslim di tanah jajahan mereka. Ia juga menimbulkan sebuah perbahasan ilmiah yang hangat di Eropah. Pertengkarahan tersebut dicetuskan oleh sebuah rencana tahun 1915 oleh seorang orientalis terkenal Belanda bernama C. Snouck Hurgronje, bertajuk Heilige Oorlog Made in Germany [Perang Agama Dibuat di Jerman]. Di dalamnya, Hurgronje mengecam rakan sekerja Jermannya yang beliau rasa telah hasutkan isytiharan jihad sebagai rayuan sembarangan yang mengancam projek pemodenan dunia Muslim. Rencana tersebut disebarkan secara meluas dalam terjemahan Inggeris dan kesahihannya masih lagi sangsi oleh sejarawan, yang tahu kewujudan pengaruh Jerman dan kelicikan politik dalam negeri Uthmaniyah yang tersirat dalam pengisytiharan itu.[23]

Beberapa fatwa pemboikotan pernah diisukan di zaman moden, contohnya satu yang dikeluarkan oleh seorang ulama Iraq pada 1933, yang menyeru umat Islam untuk memboikot barangan produk Zionis.[5] Pada tahun 2004, Yusuf Al-Qaradawi mengeluarkan sebuah fatwa untuk memboikot produk Israel dan Amerika Syarikat, kerana membeli produk mereka akan mengukuhkan pihak-pihak yang menentang Palestin.[7]

Sesetengah mufti di era moden, seperti mufti Lubnan di pertengahan abad ke-20 dan Mufti Besar Kesultanan Oman, pernah menjadi pemimpin politik yang penting.[9] Di Iran, Ayatollah Khomeini menggunakan isytiharan dan fatwa untuk memperkenalkan dan mengabsahkan sejumlah institusi, seperti Majlis Pemberontakan Islam (Parsi: شورای انقلاب اسلامی‎) dan Majlis Iran (Parsi: مجلس شورای اسلامی).[5]

Fatwa Ayatollah yang paling dikenali adalah berkenaan isytiharan maut kepada Salman Rushdie disebabkan novel beliau The Satanic Verses.[5] Ayatollah sendiri tidak memanggil isytiharan ini sebagai fatwa, dan sesetengah ulama berpendapat ia tidak layak dilabelkan begitu, kerana dalam syariah teori hanya mahkamah sahaja boleh tentukan jika seorang individu itu bersalah atau tidak.[4][24] Tetapi setelah isytiharan tersebut dipersembahkan sebagai fatwa dalam sidang akhbar Barat, label ini diterima pakai oleh ahli kritik dan juga penyokong,[4][24] dan kontroversi Satanic Verses dikatakan telah membawa pengasasan fatwa kepada tumpuan dunia.[8] Ia dan berbilang fatwa militan terkemudiannya telah menyebabkan fatwa disalah anggap sebagai sebuah waran maut.[20]

Pelbagai gerakan militan dan reformasi di zaman moden menyebarkan fatwa yang dikeluarkan oleh individu-individu yang tidak berkelayakan untuk jadi seorang mufti. Salah satu contoh ialah sebuah fatwa yang dikeluarkan pada 1998 oleh Osama bin Laden dan empat rakan kongsinya, yang mengisytiharkan "jihad menentang Yahudi dan Salibi" dan menghalalkan pembunuhan orang awam Amerika Syarikat. Banyak ahli mufti mengecam isi fatwa beliau dan menekankan bahawa Osama bin Laden tidak mempunyai kelayakan untuk mengeluarkan fatwa apatah lagi mengisytiharkan jihad.[5]

Risalah Amman ialah sebuah penyataan yang ditandatangani oleh hampir 200 ulama ternama di Jordan pada tahun 2005, yang bertujuan sebagai fatwa balas menentang penggunaan takfir semberono oleh kumpulan "penjihad", yang mempergunakannya untuk membenarkan jihad menentang pemimpin negara yang majoritinya Muslim. Risalah Amman mengiktirafkan lapan mazhab Islam sebagai sah dan mengharamkan pengisytiharan murtad ke atas mereka. Penyataan tersebut juga menegaskan bahawa fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh mufti-mufti terlatih, dan membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka semua yang tidak mempunyai kelayakan.[4][5]

Fatwa-fatwa yang salah dan kadangkalanya dahsyat yang dikeluarkan oleh individu-individu yang tidak berkelayakan di zaman kini pernah menimbulkan "huru-hara" dalam pengamalan fatwa di zaman moden.[8]

Peranan media moden

Kemajuan dalam teknologi komunikasi dan kebangkitan internet telah mengubah sambutan dan peranan fatwa dalam masyarakat moden.[5][25] Di zaman silam, kebanyakan fatwa dikeluarkan untuk menjawab soalan-soalan peribadi yang ditanya oleh seorang pengaju. Di awal abad ke-20, seorang ulama pengislah Rashid Rida membalas beribu-ribu soalan dari seluruh dunia Islam dalam pelbagai tajuk politik dan sosial di dalam bahagian fatwa dalam jurnal beliau Al-Manar.[8][9] Pada lewat abad ke-20, semasa Mufti Besar Mesir Sayyid Tantawy mengeluarkan fatwa membenarkan perbankan berfaedah, fatwa tersebut diperdebatkan dalam sidang akhbar Mesir oleh para ulama dan cendiakawan biasa.[5]

Di zaman internet, banyak laman sesawang telah muncul menawarkan fatwa kepada pembaca dari seluruh dunia. Contohnya, IslamOnline yang menerbitkan sebuah arkib bagi sesi "fatwa langsung", yang bilangannya hampir cecah seribu menjelang 2007, bersertakan biografi para mufti. Bersama-sama dengan rancangan siaran televisyen, bicarawara dan talian hangat fatwa yang menawarkan fatwa dalam telefon, laman sesawang begini telah menyumbang kepada bentuk pemfatwaan baharu.[5][25] Tidak seperti fatwa-fatwa padat atau teknikal di zaman dahulu, fatwa yang dikeluarkan melalui media massa moden kini digunakan secara meluas dan lebih mudah dicapai oleh khalayak awam.[8]

Media moden juga telah mempermudahkan bentuk bekerjasama dalam pembentukan fatwa. Sekumpulan mufti diajukan soalan melalui laman web fatwa, supaya soalan-soalan dapat diagihkan kepada mufti-mufti yang ada dalam rangkaian tersebut yang bertindak sebagai mufti penasihat. Dalam sesetegah kes pula, mufti-mufti dari pelbagai negara, mazhab dan kadangkala juga aliran agama (Sunah Waljamaah dan Syiah), bekerjasama untuk mengeluarkan fatwa yang ditanggap akan menjadi lebih berwibawa dan kuat kuasa ke atas khalayak awam berbanding fatwa sendirian. Fatwa berjemaah ini (juga dipanggil ijtihad jama'i, "pandangan berjemaah") merupakan sebuah perkembangan baharu dalam sejarah, dan dapat ditemukan sebagai majlis dalam institusi kewangan Islam dan majlis fatwa antarabangsa.[20]

Peranan sosial fatwa

Fatwa pada zaman kini telah semakin maju melepasi perkara-perkara syariah kepada perkara-perkara untuk menangani ibadat dan perkembangan dalam hal-hal keagamaan seperti penafsiran Al-Quran, rukun dan kesufian. Fatwa moden juga menangani pelbagai lagi perkara, termasuklah insurans, pembedahan alih jantina, penerokaan bulan, meminum bir,[8] pengguguran dalam kes kecacatan bayi yang membawa maut ataupun lelaki dan wanita berkongsi ruang kerja yang sama.[25] Dalam alam peribadi, sesetengah mufti telah pun menjadi penjawat sosial yang memberi nasihat kepada pelbagai masalah peribadi yang dialami.[8]

Identiti pengaju soalan juga telah banyak berubah. Dengan peningkatan dalam pendidikan sejagat, individu yang meminta fatwa telah menjadi lebih berpengetahuan, sedangkan dahulunya seorang mufti jauh lebih berilmu daripada sang mustafti. Pengaju soalan juga kini biasanya wanita, dan di zaman kini wanita Muslim selalunya ajukan pertanyaan mereka kepada mufti secara langsung daripada meminta seorang wali atau mahram sebagai pengantara mereka. Oleh kerana wanita kini mewakili sejumlah besar dalam mereka yang menuntut bidang syariah dan berkelayakan untuk menjadi muftiyah, kehadiran mereka dalam proses pemfatwaan dijangka akan terus berkembang.[8][25] Sebuah talian hangat fatwa di Emiriah Arab Bersatu membekalkan akses kepada individu biasa untuk bertanya kepada mufti ataupun muftiyah, dan memudahkan wanita untuk mengajukan soalan mereka kepada mufti wanita yang bertauliah.[25]

Sejumlah besar fatwa yang dikeluarkan di zaman moden meneguhkan kepentingan Islam tulen dalam hidup harian seorang Muslim. Namun, tiada penyelidikan yang cukup untuk menatijahkan sejauh mana khalayak Muslim menerapkan fatwa dan hukum-hakam dalam hidup harian mereka. Daripada mencerminkan perilaku atau pendapat orang Muslim yang sebenar, fatwa-fatwa ini menggambarkan pendapat bagaimana seorang Muslim "patut berfikir".[20]